ADAT PERKAHWINAN KAUM INDIA
Pengenalan
Masyarakat India merupakan etnik ketiga terbesar di
Malaysia dan juga salah satu kaum yang telah menyumbang ke arah pembentukan
sebuah masyarakat majmuk di negara kita. Seperti masyarakat lain, masyarakat
India juga kaya dengan ciri-ciri kebudayaan mereka dan masih mengekalkan
kebudayaan tersebut sehingga kini. Adat resam yang diamalkan oleh masyarakat
India mempunyai banyak persamaan dengan kebudayaan masyarakat Melayu. Ini jelas
terlihat dalam aspek kelahiran dan perkahwinan. Seperti juga masyarakat lain,
masyarakat India terdiri daripada pelbagai suku kaum, justeru itu maklumat
berikut hanya memaparkan adat resam masyarakat India secara umum.
Merisik
Dalam
peringkat merisik, beberapa aspek perlu diberi perhatian seperti faktor etnik,
sub etnik, kasta dan agama. Selain itu, faktor-faktor lain seperti status
ekonomi dan status sosial merangkumi aspek seperti umur, tahap pendidikan,
jenis pekerjaan, etika dan moral, rupa paras dan latar belakang keluarga juga
turut diambil kira. Selalunya maklumat-maklumat ini diperolehi secara langsung
dari pihak yang terlibat dan juga secara tidak langsung menerusi sahabat-handai
dan saudara mara. Ada kalanya orang tengah yang dipanggil tirumana taraga akan
membantu dalam kerja-kerja merisik. Tetapi kini peranan tersebut telah diambil
alih oleh ejen-ejen perkahwinan yang berdaftar.
Kunjungan Ke Rumah Pengantin
Adat ini dilakukan selepas adat merisik dilakukan.
Bakal pengantin lelaki akan mengunjungi bakal pengantin perempuan untuk melihat
sendiri paras rupa dan perawakan calon isterinya. Adat ini dikenali sebagai pen
paarttal atau dalam bahasa Melayu dipanggil sebagai melihat bakal isteri.
Ketika itu wakil pihak lelaki perlu datang dalam jumlah ganjil walaupun
bilangan tersebut ramai.
Buah tangan seperti kelapa, sirih, pinang, cendana,
buah-buahan, bunyi-bunyian serta serbuk kumkum akan dibawa. Barang-barang ini
dibawa sebagai tanda kedatangan mereka atas niat yang baik dan untuk
mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Pihak perempuan akan menerima hantaran
tersebut sekiranya bersetuju. Jika tidak, mereka hanya melayan orang yang
datang sebagai tetamu dan tidak boleh mengambil barang-barang tersebut.
Bakal pengantin perempuan akan memakai sari
dan dipertanggungjawabkan menghidang air minuman. Pada masa itu bakal pengantin
lelaki berpeluang melihat pengantin perempuan dengan lebih dekat lagi. Oleh itu
bakal pengantin perempuan perlu melayani para tetamu yang bertandang
termasuklah bakal suami. Kemudian kunjungan ini dibalas oleh wakil perempuan.
Kali ini pengantin perempuan tidak turut serta. Dalam masyarakat India, adat
pen paarttal juga bertujuan untuk mengetahui latar belakang bakal pengantin
lelaki.
Kaji Kecocokan Pengantin
Adat penyesuaian bakal pengantin dikenali sebagai
Thairumanam Poruttam Paartal dijalankan terlebih dahulu, dalam ajaran Hindu
tidak terdapat konsep perceraian. Terdapat 21 aspek perlu diambil kira untuk
menentukan kesesuaian pasangan bakal pengantin dengan cara tilikan dimanak
Hindu. Diantara yang masih diamalkan oleh masyarakat Hindu iaitu Tina
poruttam/Natcattira poruttam, Kana poruttam, Mahentira poruttam, Pentiikka
poruttam, Yooni poruttam, Raasi poruttam, Raasiyaati paati poruttam, Vaiya poruttam,
Racau poruttam dan Veetai poruttam.
Ikat Janji
Ikat janji atau niccayam dilakukan selepas
mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah
pihak perempuan dalam jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa
barangan seperti kelapa, sirih pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan
kumkum untuk diberikan kepada wakil perempuan.
Sebaik sahaja sampai ke rumah bakal pengantin
perempuan, bapa kedua-dua belah pihak akan berbincang mengenai perkahwinan
tersebut. Sekiranya bapa salah seorang bakal pengantin telah meninggal dunia,
perbincangan akan diadakan dengan saudara-mara. Sekiranya kedua-dua belah pihak
pengantin bersetuju, mereka akan mengikat janji.
Bakal pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan
ikat janji bagi menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin
perempuan. Seterusnya perkahwinan tersebut akan diumumkan kepada orang ramai.
Sebagai tanda ikatan, kedua-dua pengantin akan menukar sirih pinang yang
dinamakan taambuulan marrutal. Kemudian mereka akan membincangkan mengenai hari
perkahwinan dan tentang belanja untuk pengantin perempuan, kad jemputan dan
sebagainya. Kemudian upacara niccayam akan dilakukan dan lazimnya akan
dijalankan dengan bertukar-tukar kalungan bunga.
Upacara Perkahwinan
Thirumanan bermaksud penyatuan atau ikatan
suci melalui perkahwinan antara pasangan suami isteri agar kekal hingga ke
akhir hayat. Terdapat tiga jenis perkahwinan dalam masyarakat India iaitu
Vaitikat Thairumanam, Tamil Thairumanam dan Diya Thairumanam yang mana
perkahwinan ini dijalankan adalah berlandaskan aspek suku kaum.
Majlis perkahwinan dimulakan dengan upacara
niccayam (ikat janji) dengan memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad
undangan disapu dengan air kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai
tanda rasmi undangan perkahwinan. Upacara Kanggenam iaitu menanam sebatang
pokok yang lurus dan disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari
perkahwinan dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga
hari sebelum hari perkahwinan.
Pengantin Bersanding
Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda dengan
berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua. Pedanda akan menabur
sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung cincin. Pengantin lelaki
akan mengalungkan thaali yang diperbuat daripada benang yang disapu dengan
kunyit dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit kepada pengantin perempuan
hingga aras dada. Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan
menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin.
Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan
mendapat restu termasuklah menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan pada
bahagian atasnya, menuang air susu ke dalamnya, memberi sirih, mencium tapak
kaki ibu bapa (membasuh kaki ibu bapa), memberi hadiah dhoti (bapa mertua) serta
sari (ibu mertua) dan wang. Biasanya pasangan pengantin akan bertukar-tukar
kalungan bunga sebanyak tiga kali dan berkongsi minum air susu bercampur pisang
di dalam sebiji gelas. Upacara ini menandakan pasangan ini secara rasmi telah
menjadi suami isteri.
Beberapa faktor penting yang diambil kira sebelum
upacara perkahwinan dilangsungkan untuk mendapat kebahagiaan hidup, antaranya
seperti masa yang baik untuk melangsungkan perkahwinan, pengertian thaali,
valatu kal, pemberian manisan, hadiah, penghormatan kepada pengantin lelaki,
simbol pokok pisang, jamuan perkahwinan dan meroboh khemah perkahwinan.
Selepas Majlis Perkahwinan
Terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh
masyarakat India selepas berlangsungnya sesuatu perkahwinan. Antara adat tersebut
ialah pengantin perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki sebagai
menghormati suami selepas mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri.
Kemudian pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan
selama tiga hari. Pada masa itu ibu bapa mertua akan menghormati kedua-dua
pengantin dengan mengadakan jamuan.
No comments:
Post a Comment